Friday, 28 January 2011
Saturday, 25 December 2010
si penangkap gonggok

Gambar: Berbaju merah diatas meja ialah Iman Haikal dan berbaju merah berdiri ialah Aiman Hakim.
Iman Haikal adalah saudara sepupu Yasin. Umur dia 3 tahun. Dia merupakan adik kepada Aiman Hakim yang berumur 5 tahun. Badan yang lebih gempal dan suaranya yang lebih garau apabila bercakap menyebabkan dia ditakuti oleh abangnya.
Paling dikagumi dan ditakuti oleh abang termasuk juga rakan-rakan sebayanya ialah kerana keberanian Haikal menangkap ulat gonggok. Kebetulan di halaman depan rumah Yasin banyak terdapat ulat gonggok. Yasin sendiri terasa geli dan seriau untuk menyentuhnya. Haikal dengan selamba boleh menangkap sambil mengacah-acah abang dan rakan-rakan sebayanya ketika bermain. Maka bertempiaran mereka lari sambil menjerit-jerit.
Selalunya keadaan seperti ini tidak akan terhenti selagi mama tidak mengarahkan Haikal supaya membuang gonggol dari tangannya.
Namun setiap yang kuat ada lemahnya, setiap yang berani ada takutnya. Haikal juga begitu. Ada satu benda yang boleh mengalah dan melemahkannya. Apabila ditunjuk sahaja kepadanya, Haikal pasti pula akan lari lintang pukang ketakutan... “lada kering”.
Saturday, 4 December 2010
tidur, makan, main game...

Lama sungguh Yasin tak update blog. Dah lebih sebulan. Yelah... sejak sebelum upsr, kemudian masuk upsr, tamat upsr sampailah keluar keputusan upsr. Bukannya malas, tapi masalah jari bengkak untuk menekan button keyboard.
Sebabnya, bila mula cuti sekolah Yasin duduk rumah ajelah. Aktiviti harian ialah tidur, makan, main game, tidur, makan, main game, tidur, makan, main game...
Sesekali ada la jugak Yasin folo famili pergi kenduri kahwin. Tak baik hampakan ajakan ibubapa. Bila balik rumah, mulalah balik aktiviti tidur, makan, main game, tidur, makan, main game, tidur, makan, main game...
Agak seronok sikit apabila melayan kerenah anak-anak buah time diorang ada. Boleh juga gurau-gurau, buli-buli dan sakat-sakat sampai diorang dah nangis dan tidur. Yasin pun turut tidur, makan, main game, tidur, makan, main game, tidur, makan, main game...
Kekadang tu rasa boring jugak tapi apa lagi yang boleh buat. Daripada melepak tak tentu pasal, bercampur dengan bebudak nakal, baiklah tidur, makan, main game, tidur, makan, main game, tidur, makan, main game...
Ada juga kekawan ajak keluar pegi bandar tengok wayang, main boling dan makan kfc. Ahh... buat ape membazir duit, baik dok rumah tidur, makan, main game, tidur, makan, main game, tidur, makan, main game...
Ehhh! Mana boleh tak solat. Jangan menjadi orang yang lalai. Waktu solat berhentilah kejap. Kemudian sambunglah aktiviti tidur, makan, main game, tidur, makan, main game, tidur, makan, main game...
Beberapa hari lepas abah membuat kerja menggunakan komputer kat rumah. Alamak... GAME OVER!
Saturday, 9 October 2010
serangan virus pink

Mula-mula Yasin perasan apabila tengok seluar putih Yasin telah bertukar kepada warna pink. Aik? Bila diselak-selak dalam almari, ada beberapa baju dah bertukar warna pink. Aik? Apa yang dah berlaku?
Yasin terus ke bilik Kaklong dan Kak Syada. Waduh! Sarung bantal warna pink. Tuala mandi warna pink. Langsir warna pink. Siap bertompok-tompok lagi...
Yasin ke bilik Abang Iwan pula. Tu dia... kain cadar warna pink. Singlet warna pink. Baju kemeja warna pink. Apakah gerangan semuanya ini?
Memang sah. Di bilik abah pun sama. Kelihatan baju dan kain pelikat abah sudah bertukar pink. Nampaknya sudah hampir satu rumah sudah terkena serangan virus pink! Merbahaya ni!
Kah! Kah! Kah! Bila jumpa mama baru Yasin dapat tahu cerita sebenar. Rupanya mama sudah terendam pakaian-pakaian tersebut bersama dengan sehelai baju warna merah yang baru dibasuh buat kali yang pertama. Warnanya sudah turun dan berjangkit kepada pakaian yang lain.
Pink pun pinklah. Pakai ajelah... Ala-ala pink panther gitu...
Tuesday, 28 September 2010
Burger yang pelik

Di suatu simpang masuk ke taman perumahan tempat Yasin tinggal kelihatan sebuah gerai Burger Otai yang baru dibuka. Sewaktu pergi balik ke sekolah, Yasin begitu teringin untuk membelinya. Sebagai pengetahuan kawan-kawan, burger memanglah favourite Yasin.
Tetapi ada suatu perkara yang aneh dan pelik tentang gerai burger ini. Kisahnya bermula apabila pada suatu hari, Yasin teringin sangat untuk memakan burger. Yasin teringatkan Burger Otai. Yasin pun berbasikal menuju ke simpang taman. Ah ! Malang sekali gerainya ditutup pada hari tersebut. Maka kempunanlah Yasin. Keesokan harinya, apabila Yasin hendak ke sekolah kelihatan gerai tersebut dibuka seperti biasa.
Pada hari lusanya, dengan penuh yakin Yasin sekali lagi berbasikal menuju ke gerai burger. Sekali lagi gerai tersebut kelihatan ditutup. Yasin pulang dengan kecewa. Apa yang mengejutkan pada keesokan harinya gerai dibuka seperti biasa. Ah ! Lupakan saja.
Mungkin ini suatu kebetulan. Tetapi masalahnya, peristiwa itu bukan berlaku sekali dua. Ia telah berlaku beberapa kali. Asal Yasin berniat untuk membeli burger gerainya ditutup, sedangkan apabila Yasin tidak mahu membelinya gerainya sentiasa dibuka. Ia seolah-olah tidak mahu menjual burgernya kepada Yasin.
Apakah ini masih suatu kebetulan ? Pelik... Pelik... Sungguh pelik burger ini... Sehingga ke hari ini Yasin masih belum dapat merasanya.
Saturday, 21 August 2010
yasin tidak bermayat

Opps... tajuk sebenarnya ialah Yasin Tidak Bermaya.
Maklumlah bulan puasa. Lagipun bulan Ramadhan tahun ni adalah bulan yang agak sibuk bagi Yasin. Ya lah... UPSR kan dah tak lama lagi. Begitu juga PSRA bagi sekolah agama. Kedua-duanya Yasin kena hadapi. Jadi sekolah telah menyediakan pelbagai aktiviti seperti motivasi, kelas tambahan, ujian setara, peperiksaan percubaan dan sebagainya.
Di sebelah malamnya pula Yasin tidak mahu ketinggalan untuk ke surau bersama keluarga menunaikan solat isyak dan tarawikh. UPSR, UPSR jugak tapi pahala Ramadhan jangan kita abaikan pulak. Peluang ini bukan datang selalu.
Badan pun dah rasa tak berapa sihat. Kekadang sejuk, kekadang panas. Dua tiga hari lepas Yasin jumpa doktor. Dia kata cuma demam biasa. Mungkin demam puasa tak pun demam peperiksaan. Mungkin kot?
Itulah sebabnya Yasin dah lama tak update blog. Maaf le kekawan. Berilah peluang kepada Yasin memberi tumpuan kepada peperiksaan dan bulan Ramadhan. Lepas peperiksaan nanti boleh kita cerita panjang.
Buat masa ini Yasin memang tidak bermaya...
Saturday, 24 July 2010
misteri menghantui yasin

Yasin tidaklah berani sangat. Tetapi Yasin sukakan cerita-cerita misteri dan seram. Kalau ada cerita misteri kat tv, Yasin mesti tengok. Kalau terjumpa majalah atau buku kisah seram di kedai-kedai buku, Yasin pasti beli. Begitu juga kalau ada orang tua bersembang pasal cerita misteri, Yasin mesti akan tekun mendengar.
Yasin sebenarnya takut. Bila menonton cerita hantu atau seram, badan Yasin akan kesejukan dan bulu roma Yasin pasti akan berdiri ketakutan. Pada masa itu Yasin akan menutup muka dengan tangan dan hanya melihat dari celah-celah jari sahaja. Tapi itu yang best tu bila menonton cerita seram.
Sejak akhir-akhir ini Yasin ada satu misteri menghantui Yasin.
Yasin ada adik angkat perempuan. Nama dia Damiya Faqirah. Umur dia baru enam bulan. Dia amat manja. Semua ahli keluarga Yasin sukakannya. Yasin pun suka. Tapi masalahnya Yasin langsung tidak dapat dekat dengannya. Kalau dekat juga mesti dia akan menjerit-jerit ketakutan.
Yasin teringat kata-kata mama. Mama kata budak kecik jiwanya bersih. Matanya boleh melihat apa saja yang orang dewasa tidak nampak. Termasuklah makhluk halus iaitu jin dan iblis. Sebab itu bayi mudah menangis.
Jadi ini bermakna... mungkinkah dia nampak sesuatu sedang bertenggek kat belakang Yasin? Oh tidaaaaaaaaaaaakkk…
Subscribe to:
Posts (Atom)