
Gambar: Berbaju merah diatas meja ialah Iman Haikal dan berbaju merah berdiri ialah Aiman Hakim.
Iman Haikal adalah saudara sepupu Yasin. Umur dia 3 tahun. Dia merupakan adik kepada Aiman Hakim yang berumur 5 tahun. Badan yang lebih gempal dan suaranya yang lebih garau apabila bercakap menyebabkan dia ditakuti oleh abangnya.
Paling dikagumi dan ditakuti oleh abang termasuk juga rakan-rakan sebayanya ialah kerana keberanian Haikal menangkap ulat gonggok. Kebetulan di halaman depan rumah Yasin banyak terdapat ulat gonggok. Yasin sendiri terasa geli dan seriau untuk menyentuhnya. Haikal dengan selamba boleh menangkap sambil mengacah-acah abang dan rakan-rakan sebayanya ketika bermain. Maka bertempiaran mereka lari sambil menjerit-jerit.
Selalunya keadaan seperti ini tidak akan terhenti selagi mama tidak mengarahkan Haikal supaya membuang gonggol dari tangannya.
Namun setiap yang kuat ada lemahnya, setiap yang berani ada takutnya. Haikal juga begitu. Ada satu benda yang boleh mengalah dan melemahkannya. Apabila ditunjuk sahaja kepadanya, Haikal pasti pula akan lari lintang pukang ketakutan... “lada kering”.