Saturday, 30 July 2011

terkam harimau malaya


Benarkah apa yang yasin nampak ni? Ataukah yasin sedang bermimpi? Beberapa kali Yasin menggosok-gosok mata namun masih nampak seperti apa yang Yasin sedang nampak. Seekor harimau belang sedang lepak di halaman rumah... Bukan Harimau Malaya. Kalau Harimau Malaya boleh Yasin mintak autograf.

Mungkinkah harimau belang ini terlepas dari zoo? Atau dia tersesat jalan ke hutan? Apakah yang harus Yasin buat? Patutkah Yasin melarikan diri atau melawan yang belum tentu menang tewasnya?

Ahhh!!! Apa guna ilmu di dada kalau tidak diamalkan. Yasin nekad untuk melawan. Yasin mesti menangkap harimau itu untuk dibawa pulang ke zoo. Kalau dibiarkan mungkin akan mencederakan orang ramai.

Yasin membuka langkah yang pertama. Yasin berjalan menuju ke arah harimau dari arah belakang secara perlahan-lahan. Semakin dekat semakin terasa auranya. Yasin membuka langkah yang kedua. Eyahh! Yasin terus menerkam si Belang sebelum sempat dia menoleh ke belakang. Dia tidak sempat berbuat apa-apa... Langsung tidak meronta.

Memang dia tidak mampu melawan pun sebab ia adalah sebuah patung Harimau Malaya... Inilah adalah sekadar aksi lagak ngeri Yasin apabila mendapat bengkung awan putih. Hehehe...

Tuesday, 26 July 2011

Ujian Yang Pertama


Pada hari Ahad 24 Julai 2011 Yasin telah mengharungi satu ujian peringkat pertama untuk memiliki Bengkung Awan Putih dalam Persatuan Seni Silat Gayung Malaysia.

Fuhh! Sungguh getir dan mencabar! Walaupun telah banyak latihan yang di jalankan Yasin masih berasa keperitannya. Tidak dapat untuk dibayangkan apabila menghadapi ujian-ujian untuk merebut bengkung pada peringkat yang lebih tinggi nanti.

Namun begitu Yasin akan terus berusaha untuk mencapainya. Buat masa sekarang Yasin sedang giat berlatih untuk memantapkan susuk badan dan kekuatan stamina. Yasin mesti makan lebih makanan yang berkhasiat seperti telur, daging dan sayuran. Minum minuman seperti madu, susu dan milo. Jauhkan makanan ringan seperti keropok walaupun Yasin amat menyukainya.

Err... tapi mama kata sepupu Yasin yang kat kampung baru sekolah tadika, pompuan pulak tu, sudah ada bengkung putih. Yeee ke?

Sunday, 24 July 2011

Yasin di Pentas Tilawah



Sekali lagi pada hari Jumaat lepas Yasin telah menaiki pentas tilawah al-Quran peringkat antarabangsa di Dewan Merdeka PWTC Kuala Lumpur. Sungguh teruja dan tidak disangka mendapat peluang naik pentas sekali lagi pada tahun ini.

Kekawan jangan salah faham pulak... Yasin naik pentas bukanlah sebagai peserta tilawah tetapi naik untuk bergambar sahaja. Hehehe...

Yasin memang seronok mengikuti majlis tilawah al-Quran yang diadakan pada setiap tahun, sebab itulah Yasin mengajak keluarga untuk menghayati secara dekat di Dewan PWTC. Kebetulan pada malam itu jumlah kehadiran penonton dikatakan paling ramai berbanding pada malam-malam sebelumnya sehingga tidak mencukupi tempat duduk.

Ahhh..! Itu sama sekali tidak mematahkan semangat Yasin untuk tetap mengikutinya walaupun secara bersila di atas karpet di tepi pentas.

Friday, 6 May 2011

Paklang dan hari pekerja


Di kala semua orang Kuala Lumpur balik ke kampung pada cuti hari pekerja, langkah paklang adalah sebaliknya. Paklang telah datang mengunjungi keluarga Yasin di Kuala Lumpur. Yasin rasa inilah kali pertama paklang datang ke Kuala Lumpur sejak kami berpindah ke rumah baru.

Beberapa tahun lepas ada ura-ura paklang hendak datang tetapi tidak kesampaian dek kerana kehilangan maklang yang telah pergi ke rahmatullah. Kali ini paklang sampai juga walaupun tanpa maklang di sisi. Selamat datang ke kuala lumpur paklang...

Yasin amat menyayangi paklang. Dia seorang yang baik, peramah dan kelakar. Dia juga seorang yang tabah menghadapai ujian hidup. Dia akan tetap tersenyum walau dalam apa jua keadaan. Yasin tidak pernah nampak paklang merungut atau marah-marah.

Paklang kuat bekerja. Macam-macam kerja paklang pandai buat. Dia seorang pesawah, dia seorang tukang rumah dan dia juga seorang nelayan. Kaki paklang pernah patah kerana terjatuh dari bumbung semasa bertukang dan tangan paklang pernah bengkak kerana disengat sembilang semasa memancing.

Yasin mengucapkan selamat hari pekerja kepada paklang dan di kesempatan ini Yasin bersama keluarga telah membawa paklang ronda-ronda Kuala Lumpur dan Putrajaya. Yasin harap paklang gembira walaupun keindahan Kuala Lumpur bukanlah keindahan yang original seindah kampung!

Friday, 8 April 2011

TERPENJARA !


Aduh! Inilah entry pertama Yasin di Tahun baru 2011 dan entry pertama Yasin setelah berada di sekolah menengah. Bukannya tidak ada cerita yang hendak diceritakan tetapi tidak ada masa untuk Yasin menulis cerita. Kalau menulis pun hanyalah menyiapkan kerja-kerja sekolah yang menimbun.

Mula-mula dulu ingatkan bolehlah bersenang-lenang sedikit apabila masuk tingkatan 1 ni. Rupanya tidak. Yasin seolah-olah terpenjara dengan jadual harian yang padat dan ketat! Pada sebelah petang sesi persekolahan manakala di sebelah pagi aktiviti kokurikulum.

Yasin ada mengambil bahagian dalam Permainan Badminton, Pasukan Koir, Persatuan Silat Gayung Malaysia dan Kumpulan Nasyid Sekolah. Antara sebab mengapa Yasin terpaksa ke sekolah pada sebelah pagi hampir setiap hari ialah kerana latihan nasyid. Kami dijangka akan mengadakan persembahan sulung di hari kecemerlangan sekolah nanti.

Kepada kawan-kawan yang berkelapangan bolehlah datang menyaksikan secara langsung dari Dewan Sek. Men. Taman Jasmin 2 pada hari Sabtu 16hb. April, 2011 bermula jam 9.00 pagi. Tiket adalah percuma! Anda juga boleh menghantar undian secara sms dengan menaip Yasin jarak nasyid jarak ke nombor telefon public sekolah. Hahaha...

Saturday, 25 December 2010

si penangkap gonggok


Gambar: Berbaju merah diatas meja ialah Iman Haikal dan berbaju merah berdiri ialah Aiman Hakim.

Iman Haikal adalah saudara sepupu Yasin. Umur dia 3 tahun. Dia merupakan adik kepada Aiman Hakim yang berumur 5 tahun. Badan yang lebih gempal dan suaranya yang lebih garau apabila bercakap menyebabkan dia ditakuti oleh abangnya.

Paling dikagumi dan ditakuti oleh abang termasuk juga rakan-rakan sebayanya ialah kerana keberanian Haikal menangkap ulat gonggok. Kebetulan di halaman depan rumah Yasin banyak terdapat ulat gonggok. Yasin sendiri terasa geli dan seriau untuk menyentuhnya. Haikal dengan selamba boleh menangkap sambil mengacah-acah abang dan rakan-rakan sebayanya ketika bermain. Maka bertempiaran mereka lari sambil menjerit-jerit.

Selalunya keadaan seperti ini tidak akan terhenti selagi mama tidak mengarahkan Haikal supaya membuang gonggol dari tangannya.

Namun setiap yang kuat ada lemahnya, setiap yang berani ada takutnya. Haikal juga begitu. Ada satu benda yang boleh mengalah dan melemahkannya. Apabila ditunjuk sahaja kepadanya, Haikal pasti pula akan lari lintang pukang ketakutan... “lada kering”.