Monday, 21 June 2010

The Belut Man

Kawan-kawan tentu dah kenal dengan Keluang Man ataupun Cicak Man. Tetapi tentu belum kenal dengan The Belut Man.

Gambar 1:
Haa… Tumpukan perhatian kepada watak yang sedang tunduk menghadap ke depan. Nama dia Akmal. Dia sepupu Yasin. Di kampung Parit Tok Ngah dia dikenali sebagai The Belut Man kerana kepakarannya menangkap belut. Gambar menunjukkan dia sedang memasukkan umpan ke dalam perangkap belut.

Gambar 2
The Belut Man meletakkan perangkap belut di lokasi yang telah dikenal pasti sebagai lubuk belut.

Gambar 3
Inilah hasil belut yang telah berjaya ditangkap! Lumayan…

Menurut The Belut Man, belut ini amat sedap dimakan. Ia boleh dihidangkan dengan berbagai jenis resepi yang menarik seperti belut goreng berlada dan sup belut spesel. Menurut kata The Belut Man lag,i belut juga berkhasiat sekiranya dimakan selalu. Kulit boleh menjadi licin tanpa perlu membazir duit membeli losyen. Wow… teringin jugak Yasin nak mencubanya…

Tapi Yasin masih agak sedikit ragu-ragu sebab The Belut Man pun tidak makan belut!

Thursday, 10 June 2010

Geng Pecah Rumah !


Hah! Nampak ganas tak? Memang ganas pun sebab ini adalah geng pecah rumah! Pecah rumah yang dimaksudkan ialah rumah atuk…

Geng ini amat-amat ditakuti oleh atuk apablia tiba musim cuti sekolah. Sebab apabila kami dah berkumpul dan menjalankan aktiviti sudah tentu boleh meruntuhkan rumah atuk!

Geng ini bergerak aktif apabila tiba musim cuti sekolah sahaja. Musim tidak cuti atuk boleh bernafas lega. Geng ini terdiri daripada Yasin selaku ketua kumpulan, Zikri (sepupu yasin) selaku penolong kanan dan sedara-sedara yang lain sebagai konco-konco.

Antara aktiviti kami ialah seperti berkejar-kejaran di atas rumah atuk. Bermain lawan-lawan gusti sesama ahli kumpulan di atas beranda rumah atuk. Bermain tembak-tembak di bahagian dapur rumah atuk dan bermain sembunyi-sembunyi dari bilik ke bilik rumah atuk.

Pendek kata semua acara banyak berlangsung di atas rumah atuk. Macamana rumah atuk tak pecah!

Wednesday, 19 May 2010

Terkenang Soleh


Sewaktu balik ke kampung Atuk baru-baru ni, Yasin terjumpa seekor kucing. Rupanya seakan-akan Soleh, kucing kesayangan Yasin yang telah hilang.

Hampir tiada perbezaan. Dengan bulunya yang tebal berbelang-belang, berwarna kelabu dan ekornya agak panjang mengingatkan Yasin kepada Soleh.

Telatahnya begitu manja sekali. Suka menggesel-geselkan kepalanya di kaki Yasin. Ini menambahkan rasa sayang Yasin kepadanya.

Rupa-rupanya ia adalah kucing jiran Atuk. Tuannya datang sambil memanggil-manggil menyebut namanya. Yasin terpaksa melepaskan ia pergi. Sedih pulak rasanya. Mengalir airmata Yasin tanpa disedari…

Sambil di dalam hati Yasin tertanya-tanya. Apakah ini jelmaan Soleh?

Friday, 30 April 2010

tutup buku sukan


Sukan tahunan SK Bandar Teknologi Kajang sudah pun tamat. Ini bermakna buku sukan Yasin pun telah ditutup. Tiada lagi aktiviti sukan Yasin pada tahun ini.

Acara terakhir Yasin ambil bahagian pada hari itu ialah acara 4 X 100 meter berganti-ganti. Mewakili rumah Jebat. Sekadar mendapat tempat ketiga. Bolehlah... Taklah teruk sangat. Dapatlah jugak pingat.

Acara-acara lain yang Yasin telah sertai ialah acara badminton wakil sekolah dan bolasepak.

Yasin bangga kerana dapat membantu pasukan Jebat mendapat tempat naib johan keseluruhan. Kenangan bersama rumah Jebat amat manis sekali. Sedihnya nak tinggal rumah Jebat. Kalaulah sekolah menengah pun ada rumah Jebat...

InsyaAllah… Yasin akan membuka semula buku sukan Yasin pada tahun hadapan. Di peringkat sekolah menengah pula.

Kalau boleh Yasin nak cuba acara yang lebih lasak dan mencabar. Mungkin acara berkuda atau pun menembak…!

Sunday, 18 April 2010

naib juara nasyid


Nak kata gembira, tidaklah gembira sangat. Tapi gembira la jugak... Alhamdulillah... kumpulan nasyid Sekolah Yasin, KAFA ar-Raihan Bandar Teknologi Kajang telah menjadi naib juara dalam Pertandingan Nasyid Amal Islami Peringkat Sekolah-sekolah Zon Semenyih.

Kumpulan kami telah berjaya mengalahkan 18 buah kumpulan daripada sekolah yang lain. Walaupun naib juara, kumpulan kami telah berjaya melayakkan diri ke pertandingan peringkat daerah yang akan diadakan tidak lama lagi.

Sedihnya, sebab tidak mendapat johan tetapi kami tetap bersyukur. Berkat doa dan latihan yang bersungguh-sungguh telah menampakkan hasil.

Terima kasih kami ahli kumpulan, Izzuddin, Muizzudin, Hazim, Iqmal, Syafiq, Farhan, Hizami, Iqmal, Haiqal, Irsyad, Haziq dan Yasin buat ibubapa kami yang memberi galakan. Guru besar kami Ustaz Kadir yang begitu mengambil berat. Ustaz Halim dan Ustaz Alif selaku jurulatih yang banyak memberi tunjuk ajar. Tidak lupa juga abang Muhaimin, abang Udin dan abang Azim yang turut membantu serta rakan-rakan seperjuangan yang memberi semangat dan sokongan.

Tanpa anda semua, siapalah kami...

Wednesday, 7 April 2010

Yasin sudah dewasa


Semalam 6hb. April 2010, Yasin genap 12 tahun. Abah membawa Yasin pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara di Hentian Kajang untuk membuat MyKad. Yasin rasa sungguh berbangga kerana dapat memiliki MyKad. Itu tandanya Yasin sudah dewasa...

Yasin tidak membuat apa-apa sambutan pun. Abah dan Mama pun tidak memberi apa-apa hadiah. Bagi Yasin itu semua tidak perlu. Yasin sudah dewasa. Apa yang penting ialah doa kebahagiaan dari kedua ibubapa, adik-beradik serta kawan-kawan Yasin.

Yasin sudah dewasa. Yasin telah dapat membezakan apa yang baik dan apa yang tidak baik. Yasin sudah faham kenapa Mama marah-marah Yasin sebelum ini. Yasin tidak akan lalai lagi. Yasin akan taati perintah Allah dan mendengar kata Mama dan Abah.

Tahun ini Yasin akan mengambil peperiksaan UPSR dan PSRA. Yasin berjanji akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai keputusan terbaik. Yasin tidak boleh main-main seperti budak-budak lagi. Yasin sudah dewasa.

Saturday, 6 March 2010

menuai


Kebetulan masa Yasin balik kampung kali ini adalah musim menuai. Di sawah kelihatan jentera menuai padi sedang menjalankan tugasnya.

Cukup senang menuai padi sekarang berbanding menuai padi dahulu, kata mama. Dahulu banyak menggunakan tenaga manusia kerana prosesnya banyak. Bermula dengan mengerat, kemudian membanting dan seterusnya menganginkan padi. Lepas itu barulah dimasukkan ke dalam guni dan dipikul pula ke dalam lori. Walaupun terpaksa berpayah dan berpenat-lelah tetapi seronok, kata mama lagi.

Di sinilah lahirnya semangat bergotong-royong, bekerjasama dan bantu membantu. Tidak ada hasad dengki, prasangka buruk dan cemburu di antara satu dengan yang lain. Dari sini juga kita dapat belajar apa itu bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Memang indah, memang seronok... kata mama berulang kali...

Macam mana seronok yang mama ceritakan itu tak dapatlah Yasin nak bayangkan sebab sudah jadi sejarah.

Apapun, Yasin cukup seronok dapat pengalaman memandu jentera menuai ini tatkala pemandu sebenar sedang berhenti rehat.