Sunday, 18 April 2010

naib juara nasyid


Nak kata gembira, tidaklah gembira sangat. Tapi gembira la jugak... Alhamdulillah... kumpulan nasyid Sekolah Yasin, KAFA ar-Raihan Bandar Teknologi Kajang telah menjadi naib juara dalam Pertandingan Nasyid Amal Islami Peringkat Sekolah-sekolah Zon Semenyih.

Kumpulan kami telah berjaya mengalahkan 18 buah kumpulan daripada sekolah yang lain. Walaupun naib juara, kumpulan kami telah berjaya melayakkan diri ke pertandingan peringkat daerah yang akan diadakan tidak lama lagi.

Sedihnya, sebab tidak mendapat johan tetapi kami tetap bersyukur. Berkat doa dan latihan yang bersungguh-sungguh telah menampakkan hasil.

Terima kasih kami ahli kumpulan, Izzuddin, Muizzudin, Hazim, Iqmal, Syafiq, Farhan, Hizami, Iqmal, Haiqal, Irsyad, Haziq dan Yasin buat ibubapa kami yang memberi galakan. Guru besar kami Ustaz Kadir yang begitu mengambil berat. Ustaz Halim dan Ustaz Alif selaku jurulatih yang banyak memberi tunjuk ajar. Tidak lupa juga abang Muhaimin, abang Udin dan abang Azim yang turut membantu serta rakan-rakan seperjuangan yang memberi semangat dan sokongan.

Tanpa anda semua, siapalah kami...

Wednesday, 7 April 2010

Yasin sudah dewasa


Semalam 6hb. April 2010, Yasin genap 12 tahun. Abah membawa Yasin pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara di Hentian Kajang untuk membuat MyKad. Yasin rasa sungguh berbangga kerana dapat memiliki MyKad. Itu tandanya Yasin sudah dewasa...

Yasin tidak membuat apa-apa sambutan pun. Abah dan Mama pun tidak memberi apa-apa hadiah. Bagi Yasin itu semua tidak perlu. Yasin sudah dewasa. Apa yang penting ialah doa kebahagiaan dari kedua ibubapa, adik-beradik serta kawan-kawan Yasin.

Yasin sudah dewasa. Yasin telah dapat membezakan apa yang baik dan apa yang tidak baik. Yasin sudah faham kenapa Mama marah-marah Yasin sebelum ini. Yasin tidak akan lalai lagi. Yasin akan taati perintah Allah dan mendengar kata Mama dan Abah.

Tahun ini Yasin akan mengambil peperiksaan UPSR dan PSRA. Yasin berjanji akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai keputusan terbaik. Yasin tidak boleh main-main seperti budak-budak lagi. Yasin sudah dewasa.

Saturday, 6 March 2010

menuai


Kebetulan masa Yasin balik kampung kali ini adalah musim menuai. Di sawah kelihatan jentera menuai padi sedang menjalankan tugasnya.

Cukup senang menuai padi sekarang berbanding menuai padi dahulu, kata mama. Dahulu banyak menggunakan tenaga manusia kerana prosesnya banyak. Bermula dengan mengerat, kemudian membanting dan seterusnya menganginkan padi. Lepas itu barulah dimasukkan ke dalam guni dan dipikul pula ke dalam lori. Walaupun terpaksa berpayah dan berpenat-lelah tetapi seronok, kata mama lagi.

Di sinilah lahirnya semangat bergotong-royong, bekerjasama dan bantu membantu. Tidak ada hasad dengki, prasangka buruk dan cemburu di antara satu dengan yang lain. Dari sini juga kita dapat belajar apa itu bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Memang indah, memang seronok... kata mama berulang kali...

Macam mana seronok yang mama ceritakan itu tak dapatlah Yasin nak bayangkan sebab sudah jadi sejarah.

Apapun, Yasin cukup seronok dapat pengalaman memandu jentera menuai ini tatkala pemandu sebenar sedang berhenti rehat.

Wednesday, 24 February 2010

mak lang


Mak Lang ialah kakak mama. Dia seorang bekas Qariah Negeri Pulau Pinang. Dia juga seorang ustazah. Dia mengajar di sebuah sekolah rendah agama di Sg. Acheh, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Dia amat disegani oleh guru-guru dan murid-murid di sekolahnya. Kata Pak Lang, bila dengar bunyi motor Mak Lang aje, murid-murid sudah tidak berani jenguk muka ke luar kelas. Itulah Mak Lang, seorang ustazah yang tegas dan dedikasi dengan tugasnya.

Mak Lang seorang yang periang dan menghiburkan apabila berbicara. Yasin selalu menjadi bahan gurauannya. Dia juga banyak memberi kata-kata nasihat dan tunjuk ajar kepada Yasin. Yasin amat sayangkannya.

Kini semuanya telah tinggal kenangan. Mak Lang sudah tiada. Dia telah kembali ke rahmatullah pada 16/12/09 yang lalu. Kami sekeluarga amat terasa akan kehilangannya.
Di bawah rumah, kelihatan motor kepunyaan Mak Lang lesu dan lusuh yang seakan mengerti dengan suasana ini.

Al-Fatihah buat Allahyarham Mak Lang. Al-Fatihah...

Tuesday, 1 December 2009

di rumah atuk


Sesekali Yasin balik kampung, apabila berada di rumah atuk memang damai. Memang tenang. Tidak bising. Tidak ada gangguan. Kalau kita seorang penulis, banyak idea yang boleh kita tulis. Kalau kita seorang pelukis, macam-macam gambar yang boleh kita lukis.

Sebagai seorang pelajar pula Yasin rasa kalau kita manafaatkan masa ini untuk menghafal pelajaran amatlah sesuai. Tentu senang nak mengingat.

Tetapi masalahnya bila dah jumpa sedara sebaya dah tak ingat apa-apa dah selain daripada aktiviti kampung yang amat menyeronokkan.

Wednesday, 11 November 2009

bowling kelapa




Dua hari lepas, Yasin ikut Acik pergi ke program Hari Keluarga opisnya. Program diadakan di Ulu Langat.

Pelbagai acara telah diadakan. Selain dari acara mandi sungai, Yasin turut mengambil bahagian dalam beberapa acara. Antaranya Pertandingan Mewarna dan Bowling Kelapa.

Haa... tentu kawan-kawan tidak pernah dengar acara Bowling Kelapa ni kan? Memang... Yasin pun baru pertama kali dengar. Untuk mengetahui lebih lanjut sila lihat gambar di atas. (sepatutnya video).

Hee... hee... walaupun Yasin tidak menang tetapi Yasin seronok menyertainya. Semoga suatu hari nanti acara ini akan menjadi satu acara yang akan dipertandingkan di sukan Olimpik.

Saturday, 7 November 2009

Mengecat pagar


Ini bukan berlakun lagi. Ini betul-betul... Yasin memang suka mewarna. Baru-baru ini abah telah mengambil kesempatan di atas minat Yasin untuk mengecat pagar rumah yang telah berkarat. Walau bagaimana pun Yasin telah dibantu oleh Abang Iwan.

Setelah beberapa jam, akhirnya pagar siap dicat. Walaupun Yasin tidak puas hati dengan warna cat yang abah beli iaitu warna kelabu, abah kata dia sungguh puas hati dengan hasil kerja Yasin. Alhamdulillah... dapatlah jugak minum air kelapa, abah belanja.

Cuma ada sikit yang tidak sedap didengar. Abah kata kalau macam ni, bolehlah cat rumah pulak... Alamak!!!