Friday 30 April 2010

tutup buku sukan


Sukan tahunan SK Bandar Teknologi Kajang sudah pun tamat. Ini bermakna buku sukan Yasin pun telah ditutup. Tiada lagi aktiviti sukan Yasin pada tahun ini.

Acara terakhir Yasin ambil bahagian pada hari itu ialah acara 4 X 100 meter berganti-ganti. Mewakili rumah Jebat. Sekadar mendapat tempat ketiga. Bolehlah... Taklah teruk sangat. Dapatlah jugak pingat.

Acara-acara lain yang Yasin telah sertai ialah acara badminton wakil sekolah dan bolasepak.

Yasin bangga kerana dapat membantu pasukan Jebat mendapat tempat naib johan keseluruhan. Kenangan bersama rumah Jebat amat manis sekali. Sedihnya nak tinggal rumah Jebat. Kalaulah sekolah menengah pun ada rumah Jebat...

InsyaAllah… Yasin akan membuka semula buku sukan Yasin pada tahun hadapan. Di peringkat sekolah menengah pula.

Kalau boleh Yasin nak cuba acara yang lebih lasak dan mencabar. Mungkin acara berkuda atau pun menembak…!

Sunday 18 April 2010

naib juara nasyid


Nak kata gembira, tidaklah gembira sangat. Tapi gembira la jugak... Alhamdulillah... kumpulan nasyid Sekolah Yasin, KAFA ar-Raihan Bandar Teknologi Kajang telah menjadi naib juara dalam Pertandingan Nasyid Amal Islami Peringkat Sekolah-sekolah Zon Semenyih.

Kumpulan kami telah berjaya mengalahkan 18 buah kumpulan daripada sekolah yang lain. Walaupun naib juara, kumpulan kami telah berjaya melayakkan diri ke pertandingan peringkat daerah yang akan diadakan tidak lama lagi.

Sedihnya, sebab tidak mendapat johan tetapi kami tetap bersyukur. Berkat doa dan latihan yang bersungguh-sungguh telah menampakkan hasil.

Terima kasih kami ahli kumpulan, Izzuddin, Muizzudin, Hazim, Iqmal, Syafiq, Farhan, Hizami, Iqmal, Haiqal, Irsyad, Haziq dan Yasin buat ibubapa kami yang memberi galakan. Guru besar kami Ustaz Kadir yang begitu mengambil berat. Ustaz Halim dan Ustaz Alif selaku jurulatih yang banyak memberi tunjuk ajar. Tidak lupa juga abang Muhaimin, abang Udin dan abang Azim yang turut membantu serta rakan-rakan seperjuangan yang memberi semangat dan sokongan.

Tanpa anda semua, siapalah kami...

Wednesday 7 April 2010

Yasin sudah dewasa


Semalam 6hb. April 2010, Yasin genap 12 tahun. Abah membawa Yasin pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara di Hentian Kajang untuk membuat MyKad. Yasin rasa sungguh berbangga kerana dapat memiliki MyKad. Itu tandanya Yasin sudah dewasa...

Yasin tidak membuat apa-apa sambutan pun. Abah dan Mama pun tidak memberi apa-apa hadiah. Bagi Yasin itu semua tidak perlu. Yasin sudah dewasa. Apa yang penting ialah doa kebahagiaan dari kedua ibubapa, adik-beradik serta kawan-kawan Yasin.

Yasin sudah dewasa. Yasin telah dapat membezakan apa yang baik dan apa yang tidak baik. Yasin sudah faham kenapa Mama marah-marah Yasin sebelum ini. Yasin tidak akan lalai lagi. Yasin akan taati perintah Allah dan mendengar kata Mama dan Abah.

Tahun ini Yasin akan mengambil peperiksaan UPSR dan PSRA. Yasin berjanji akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai keputusan terbaik. Yasin tidak boleh main-main seperti budak-budak lagi. Yasin sudah dewasa.