Monday 28 November 2011

Geng Guris

Parit Tok Ngah: Sepasang kanak-kanak bawah umur yang menamakan kumpulan mereka sebagai geng guris langsung tidak dikenali pada peringkat awalnya tiba-tiba menjadi terkenal di kalangan keluarga terdekat apabila aksi mereka yang begitu berani bermain api terakam secara tidak sengaja oleh seorang jurufoto yang tidak bertauliah pada hari raya korban yang baru lalu.

Aksi stunt mereka yang begitu berani bermain dengan guris amat mengagumkan. Namun begitu aktiviti mereka membimbangkan ahli keluarga kerana menggunakan penggunaan guris secara sewenang-wenangnya. Setakat berita ini ditulis, telah banyak himpunan sampah yang dihimpun oleh atuk dibakar oleh geng ini tanpa arahan. Atuk bimbang nanti akan ada pula cubaan untuk membakar objek-objek lain seperti reban ayam, kandang kambing, kebun pisang dan sebagainya.

Difahamkan kegiatan mereka telah mula dicurigai pada awalnya setelah beberapa kali atuk tidak dapat menyalakan dapurnya kerana kehilangan guris. Pihak pekedai runcit setempat juga telah kehabisan stok guris kerana telah dibeli secara berterusan oleh dua orang ahli geng guris tersebut.

Tolong jangan tiru aksi ini.

Gambar: Salah satu foto aksi berani geng guris yang sempat dirakam.

(Kamus: Guris bermaksud mancis dalam Bahasa Banjar.)

Friday 4 November 2011

Yasin berubah wajah

Memanglah dah lama kita tidak jumpa, tapi janganlah salah anggap pulak. Sebenarnya bukan Yasin yang berubah tapi blog Yasin yang berubah wajah. Bukanlah lawa sangat pun tapi sekadar untuk sebuah kelainan.

Maklumlah dah lama asyik dok tengok rupa yang sama boring juga. Usahkan kekawan, Yasin sendiri pun dah naik meluat. Itulah pasal lama tak update... daripada nak update jadi terus hilang idea.

Semoga dengan penaikan taraf blog Duniaku Yasin ini dapatlah memberi keselesaan kepada kekawan untuk mengunjunginya dengan lebih kerap. Di samping itu dapatlah juga kiranya kekawan memberi komen serta pandangan yang sihat dan bernas demi untuk manfaat bersama.

Akhir kata renungilah kata-kata ini...
"Tertawalah dan dunia akan tertawa bersama anda, berdengkurlah dan anda akan tidur sendirian".


Dengan berakhirnya acara melangkah parit bendang di atas maka dikira sempurnalah sudah perasmian pembukaan blog Duniaku Yasin berwajah baru ini. Hehehe...